Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Kenali Sabri

Sabri bin Mohamad Sharif merupakan perunding motivasi, penceramah, pelatih dan pengkuliah yang berpengalaman mengendalikan program motivasi dan kecemerlangan diri serta prestasi kepada lebih 10,000 peserta daripada pelbagai kelompok lapisan masyarakat sama ada di pihak kerajaan mahupun pihak swasta. 


Baca Selanjutnya. Klik Sini

Thursday, June 11, 2009

Kursus Pembangunan Insan Cemerlang Kementerian Pelajaran Malaysia pada 7 hingga 10 jun 2009 di Johor Bahru, Johor

Read more...

Kursus Pembangunan Insan Cemerlang Kementerian Pelajaran Malaysia pada 24 hingga 27 mei 2009 di Melaka

Read more...

Friday, May 22, 2009

Dunia Buku: Generasi Ulul Albab - Berita Harian


Oleh Nazmi Yaakub nazmi@bharian.com.my

Lasak berfikir ada kekuatan, kebijaksanaan dan cerdas akal


GENERASI Ulul Albab: Segunung Harapan, Seteguh Gagasan karya Sabri Mohamad Sharif, merangkumkan pemikiran yang dibaurkan dengan suara nurani penulis terhadap pembentukan dan penjanaan generasi ulul albab dengan berasaskan al-Quran dan didikan lewat contoh teladan daripada Rasulullah saw.
Buku ini menakrifkan generasi ulul albab sebagai angkatan yang lasak berfikir dan ada kekuatan, kebijaksanaan serta kecerdasan akal, tanpa mengetepikan kehalusan budi, sekali gus sentiasa berusaha untuk berada di bawah naungan Allah SWT dengan berbekalkan modal insan tinggi.

Pengarang yakin dengan pendekatan terbabit generasi ulul albab mampu memberi upaya roh dan jasad untuk tampil sebagai insan berdaya saing dan bersiap siaga dalam menghadapi cabaran sezaman dan akan datang.


Konsep ulul albab ini mendapat perhatian daripada ulama dan ilmuwan sehingga diberi nafas baru untuk disesuaikan dengan kefahaman umat terkemudian seperti generasi Quran yang unik (Jilun Quraniyun Farid) janaan Syed Qutb, manakala Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula memperkenalkan generasi kemenangan (Jilun Nasr).


Buku yang terbahagi kepada tujuh bab ini, menyenaraikan ciri yang membentuk generasi ulul albab seperti gabungan kekuatan akal dan takwa, keimanan kepada kebenaran serta kebijaksanaan berdasarkan al-Quran, kesungguhan menuntut ilmu, pengamatan kepada sejarah, keupayaan membina kesabaran dan konsisten dalam menjalankan ibadat.
Bab Kedua buku ini, memberi tumpuan kepada generasi muda yang dipecahkan kepada dua golongan, iaitu belia dan remaja, dengan menekankan aspek daya tahan dan daya saing dalam menghadapi cabaran dunia yang lebih rencam dan global, selain ancaman gejala hedonisme yang parah.


Penulis meninjau aspek yang perlu diperkukuhkan seperti jiwa keusahawanan dengan slogan ‘mengusahawankan kampus’ dan ‘mengkampuskan usahawan’ serta menyorot kepentingan pembinaan hubungan lebih global dengan rakan segenerasi mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh dunia.


Pengalaman dalam dunia akademik mendorong penulis mengkhususkan satu bab untuk membincangkan gerakan pelajar di IPT dengan menggabungkan sejarah kegemilangan aktivisme di kampus dengan realiti gerakan pelajar dalam berdepan dengan cabaran lebih perit bagi mengekalkan kesinambungan idealisme, intelektualisme dan aktivisme.
Penulis turut menyentuh sistem pendidikan di negara ini daripada sudut falsafah pendidikan, kurikulum, agama dan cabaran, selain membincangkan kebejatan sosial yang melanda negara.
Bertepatan dengan konsep ulul albab berdasarkan al-Quran, buku ini menerokai kepimpinan Rasulullah dengan melihat perspektif kepimpinan yang bersifat rabbani atau ketuhanan; haraki (tersusun); al-Quran dan sempurna, tanpa mengabaikan aspek pembinaan kepimpinan keusahawanan yang dibuktikan dalam sirah junjungan.


Buku ini turut membincangkan isu yang menimbulkan perdebatan dalam konteks Islam seperti penyemaian semangat nasionalisme, cabaran teknologi maklumat, globalisasi dan liberalisasi yang perlu ditangani dan dijawab generasi ulul albab.
Bagaimanapun, beberapa topik dalam buku ini terkeluar daripada landasan perbincangan generasi ulul albab seperti aspek kesihatan, isu penderaan, dilema ibu tunggal dan perfileman karya klasik sehingga boleh merencatkan aliran tumpuan terhadap pembinaan generasi ulung itu.


Pembahagian bab juga wajar diperkemaskan agar topik perbincangan tidak bertindih dan berulang, manakala judul yang meninjau aspek sampingan seperti sambutan Hari Belia, ketokohan Bill Gates dan undang-undang Comman tidak diletakkan sebagai perbincangan utama.
Buku setebal 470 halaman terbitan Karisma Publications Sdn Bhd berharga RM30 senaskhah ini, wajar dimanfaatkan sebagai rujukan untuk membincangkan konsep generasi ulul albab dalam rangka menyaksikan generasi yang berfikir, berakal dan bermodal insan tinggi dalam mendepani perubahan dan tuntutan zaman.


INFO:
Generasi Ulul Albab: Segunung Harapan Seteguh Gagasan
Penulis: Sabri Mohamad Sharif
Tebal: 470 halaman
Penerbit: Karisma Publications Sdn Bhd
Harga: RM30 senaskhah
Bintang: *** (3)


Sabri kuasai pelbagai ilmu


SABRI Mohamad Sharif yang dilahirkan di Kampung Lendu, Alor Gajah, pada 11 Oktober 1974, ialah Ketua Jabatan Perhubungan Industri, Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka, selain turut berkhidmat sebagai Pensyarah Pusat Industri Universiti dan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan di universiti yang sama.

Sabri yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Lendu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad Melaka, menyambung pengajian ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, sebelum mendapat Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Beliau kemudian Sarjana Pengurusan Sains, Teknologi dan Polisi dari Universiti Malaya (UM), pada 2001, serta Sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti Ballarat, Australia (2006), sebelum memberi tumpuan dalam penyelidikan komersialisasi dan penjenamaan teknologi harta intelek bagi pengajian peringkat doktor falsafah serta ditawarkan biasiswa mengikuti Program Kursus Intensif JPA/IPR Training Course for IP Trainers oleh Jepun pada tahun lalu.


Keilmuannya dimanfaatkan oleh UM apabila beliau menjadi Pensyarah Tamu bermula 2001 hingga 2007, selain Perunding Motivasi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) pada 2007 dan meraih hadiah penulisan esei seperti tempat pertama pada Pertandingan Esei Ethos-Oxford pada 1998 dan Pertandingan Esei Perdana Rakan Muda (1997) serta dinobatkan Penulis Terbaik Rakan Muda Malaysia pada tahun sama.
Sabri turut memenangi tempat pertama Peraduan Penulisan Esei sempena Pesta Konvokesyen Kali Ke-25 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1997 dan pemenang pertama Pertandingan Esei Rakan Muda Bulan Mac 1997.


Beliau banyak mendapat undangan dalam bidang perundingan, motivasi dan kecemerlangan diri serta keusahawanan, selain terbabit pada program kelompok sasaran seperti remaja, belia, mahasiswa dan usahawan muda bidang perniagaan.

Read more...

Channel Youtube Sabri

Diari Aktiviti

Dapatkan maklumat tentang aktiviti yang disertai Sabri sebagai Penceramah, Pengkuliah dan Konsultansi. Klik Sini

Senarai Ceramah

Dapatkan Senarai Ceramah Sabri. Klik sini.

Gambar

Lihat Gambar terbaru Sabri. Klik sini.

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP